comscore
Tumpuan :
Nasional

Gilap semula kekuatan, iman, akhlak, disiplin dalam bulan Ramadan – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac tahun 2024, di sini hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam supaya menghayati bulan Ramadan dengan meningkatkan amalan selain menggilap semula kekuatan, keimanan, akhlak dan disiplin diri.

Perdana Menteri berkata, sekiranya ada semangat Ramadan dalam kehidupan, justeru masalah negara akan lebih terkawal seterusnya kejayaan itu dapat disampaikan kepada dunia luar.

“Ibadah itu harus memberi makna lebih luas, bagaimana boleh kita sempurnakan Ramadan kemudian sambut dengan pembaziran luar biasa, tidak mempedulikan nasib masyarakat miskin. Bagaimana dalam Ramadan masih lagi kita teruskan amalan mengambil komisen dan rasuah, maknanya penghayatan tidak ada.

“Saya ingat kita hilang pada penghayatan, sebab itu kuat Islam pada jeritannya, pada maki hamun, tidak pada penghayatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac tahun 2024, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Anwar menempak segelintir pihak yang mendakwa beliau meringankan soal ibadah kerana mengaitkan Ramadan dari segi kesedaran, masalah kemiskinan dan disiplin.

Beliau turut menafikan dirinya tidak mempedulikan nilai spiritual dan ibadah apabila menyebut berkaitan Islam dari segi tata kelola.

Tegasnya, perbicaraan mengenai Islam tidak boleh terlepas soal hukum tetap termasuk ibadah khusus.

“Apa guna masuk madrasah (Ramadan) tetapi sama juga kedudukan macam tahun lalu. Masuk madrasah maksud disekolahkan semula, masuk sekolah ada ujian, tetapi ujian kita tidak meningkat (dari segi) iman, akhlak, kekuatan semangat, disiplin tidak meningkat. Sebab itu ujian Ramadan harus menghasilkan peningkatan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya tidak melakukan pembaziran pada bulan Ramadan.

“Semalam saya menghadap santai dengan Yang di-Pertuan Agong, malam ini ada majlis buka puasa. Menarik singgungan baginda dalam perbincangan santai. Baginda bertitah, buka puasa sepatutnya minum air sikit, kurma sebiji dan solat Maghrib dulu.

“Sebab pembaziran, (majlis) santapan di Istana (Negara) itu kadang lumayan, jadi hal ini mengingatkan kita bahawa cermati supaya wang itu dimanfaatkan kepada orang yang memerlukan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini