PASIR PUTEH: Polis menyerbu rumah amal dan sekolah dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Gong Kulim, di sini pagi tadi dan menemui pelbagai buku berkaitan Aurad Muhammadiah dan Al-Arqam disembunyikan dalam stor.
Operasi jam 9 hingga 11 pagi itu disertai lebih 50 petugas daripada Polis Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Media dimaklumkan, polis terpaksa memecahkan pintu rumah dan pintu sekolah terbabit yang berkunci dan tidak berpenghuni sebelum melakukan pemeriksaan dan merampas pelbagai jenis buku yang disembunyikan dalam stor di rumah amal terbabit.
Difahamkan, premis dan rumah amal berkenaan sebelum ini didiami lebih 60 penghuni, namun sudah dikosongkan selepas polis melakukan serbuan di Panji, Kota Bharu pada Sabtu lalu.
Malah, 10 kandang kuda di lokasi berkenaan juga sudah dikosongkan, dipercayai dipindahkan ke lokasi lain. Kawasan terbabit turut mempunyai reban ayam dan lebih 500 ekor ternakan itu ditinggalkan di reban berkenaan.
Buku yang dirampas kemudian dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan, polis melakukan serbuan di kediaman pimpinan dan pengikut GISBH di Kampung Panji, Sabtu lalu.
Menerusi operasi berkenaan, puluhan buku ditemui ditanam di tepi sungai Pengkalan Datu dan lebih 30 individu termasuk isteri kedua pimpinan tinggi GISBH diperiksa dan dibawa ke pusat saringan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.