TUMPAT: Seramai 107 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih berlindung di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, 102 daripada mereka menerima perintah interim di institusi terbabit manakala selebihnya perintah tetap di bawah Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001.
Katanya, seramai 448 orang sudah dijaga keluarga masing-masing manakala lima lagi di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
“Saya menasihatkan agar ibu bapa kepada kanak-kanak itu hadir mengambil anak masing-masing. Kita difahamkan mula-mula ada yang ingin menuntut tapi mungkin ada yang nasihat mereka supaya jangan dituntut dulu sebab ada kaitan dengan tindakan kerajaan.
“Saya rasa itu tak adil sebab kita tak serahkan sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan proses perundangan. Jadi saya sarankan kepada ibu bapa terbabit, datanglah kepada kita.
“Kita pun tak mahu jaga anak orang dan tiada agenda tersembunyi sebaliknya ingin membantu. Nak ambil anak orang bukan mudah, lagipun ramai lagi anak di institusi kita yang perlu dijaga,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau diiringi Ketua Setiausaha Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff hadir di Kampung Pasir Pekan Tengah, di sini, merasmikan Program Integrasi Kasih MADANI Sempena Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat MADANI KPWKM.
Media sebelum ini melaporkan seramai 660 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global dengan 559 daripada mereka mendapat perintah mahkamah untuk penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya mengenalpasti keluarga kanak-kanak yang belum dituntut itu termasuk ada sudah berhubung, namun enggan menuntut anak mereka atas alasan tersendiri termasuk bimbang ditangkap pihak berkuasa.
Katanya, ibu bapa tidak perlu risau untuk datang mengambil anak mereka kerana mereka boleh berunding selain perlu hadir ke mahkamah untuk proses penyerahan.
“Apa yang perlu adalah untuk kita serahkan kembali dan mereka perlu juga hadir ke mahkamah tapi bukan untuk ditangkap melainkan ada kesalahan. Itu polis yang uruskan.
“Datanglah berunding dengan kita. Apa yang jadi masalah sebenarnya, jangan menyalahkan kita (JKM) kerana kita bukan nak menangkap tapi melindungi keadaan mereka,” katanya.