comscore
Tumpuan :
Nasional

GISBH: Amirudin menghadap Sultan Selangor hari ini

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

SHAH ALAM: Perkembangan isu GISB Holdings (GISBH) adalah antara perkara yang akan disembah maklum Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sesi menghadap, hari ini.

Beliau berkata, urusan berkaitan agama Islam di negeri ini secara asasnya di bawah kelolaan Sultan Selangor sepenuhnya.

“Tuanku sudah memanggil menghadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan polis beberapa hari lalu.

“Saya juga diberitahu berhubung perkara itu daripada sebahagian mereka dan kita sedang mengambil langkah susulan yang agresif tapi hari ini insya-Allah saya akan menghadap Tuanku.

“Banyak hal akan dimaklumkan dan ini juga perjumpaan mingguan dengan baginda,” katanya selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata beliau turut dimaklumkan menerusi taklimat awal bahawa kesukaran mengesan butiran penyelewengan yang dilakukan oleh GISBH adalah berikutan penukaran beberapa taktikal yang dilakukan kumpulan itu.

“Dulu mendaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan boleh dipantau. Kali ini mereka mendaftar di bawah perniagaan dan aktiviti ini bukan boleh dipantau sebagaimana aktiviti pertubuhan (ROS).

“Mereka juga mengehadkan aktiviti dalam kalangan anak beranak mereka saja dan ia menyukarkan kita mengetahui butiran penyelewengan dan sebagainya.

“Apabila berlaku pendedahan oleh bekas anggota itu baru kita dapat gambaran apakah yang berlaku,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi titah menzahirkan rasa dukacita apabila dikejutkan dengan berita siasatan PDRM terhadap kegiatan GISBH dan rangkaiannya sebaik baginda berangkat pulang dari luar negara.

Sultan Sharafuddin bertitah, berdasarkan hasil siasatan, polis mengesyaki GISBH melakukan beberapa kesalahan jenayah yang serius.

Baginda juga kesal dan kecewa kerana perkara itu berlanjutan untuk suatu tempoh lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menanganinya.

Susulan itu, baginda menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama PDRM (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah itu diheret ke mahkamah dan didakwa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini