PETALING JAYA: Syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menafikan dakwaan mengaitkan syarikat itu dengan tuduhan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media dikeluarkan sebentar tadi.
“Dengan ini kami menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa kami sekali kali tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya dalam melibatkan kanak-kanak sebagai pekerja,” jelas kenyataan itu.
GISBH turut menambah, isu yang tular itu didakwa satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap syarikat itu.
“Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.
“Kami bersedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini.
“Akhir sekali kami berdoa kepada Allah SWT agar segala fitnah, tohmahan, buruk sangka dan kebencian ini dapat dinoktahkan,” jelas GISBH lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.