KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, hari ini mempertahankan tindakan menahan pemimpin GISB Holdings (GISBH) dan 21 pengikut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Beliau berkata pertimbangan itu dibuat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas melakukan siasatan teliti berhubung kes yang disiasat bagi kesalahan jenayah terancang di bawah Seksyen 130B (1) Kanun Keseksaan.
“SOSMA dikenakan ke atas 22 pimpinan dan ahli GISBH berdasarkan siasatan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan iaitu jenayah terancang.
“Ia berdasarkan beberapa elemen iaitu pelakunya lebih dua orang, kedua, membabitkan satu objektif, iaitu di sini, eksploitasi kanak-kanak.
“Ketiga, ada elemen keuntungan dari segi material. Maka siasatan polis menemui semua kriteria yang melayakkan (polis) mengkategorikannya jenayah terancang,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Untuk rekod, pada 23 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pengikutnya didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Selain Nasiruddin, 65, turut didakwa isterinya, Datin Azura Md Yusof, 57, dan seorang anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 32.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.