comscore
Tumpuan :
Nasional

GISBH: Penilaian pendidikan terhadap kanak-kanak diselamatkan ambil masa – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. – FOTO: NSTP

TANJONG KARANG: Proses penilaian terhadap anak-anak yang diselamatkan dari premis yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dalam pelbagai aspek berkaitan pendidikan dijangka mengambil sedikit masa,” kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata penilaian yang dilakukan oleh pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) itu penting bagi menentukan sama ada anak-anak berkenaan akan dimasukkan ke sekolah arus perdana atau diberikan modul khas terlebih dahulu bagi memastikan tidak berlaku keciciran.

Fadhlina berkata penilaian itu antara lain membabitkan latar belakang, tahap pendidikan, psikososial dan kemahiran 3M (membaca, mengira, menulis).

“Penilaian ini akan mengambil sedikit masa dan selepas beberapa fasa penilaian itu, baru kita akan tentukan sama ada anak-anak itu akan dimasukkan ke sekolah arus perdana atau sebaliknya.

“Kita akan lihat semua aspek bukan sahaja dari segi pembelajaran agama tetapi juga dari sudut akademik dan sahsiah mereka secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Hab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Program Duta Guru (PDG) Yayasan Petronas di sini hari ini.

Semalam, Fadhlina dilaporkan berkata KPM akan mengambil alih urusan pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai 1 Okt ini.

Menurutnya program pendidikan itu melibatkan pelaksanaan fasa pertama selama dua bulan dan akan dilanjutkan ke fasa kedua bagi bulan berikutnya sekiranya terdapat keperluan.

Media sebelum ini melaporkan polis menerusi Op Global menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun dalam serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan kerana disyaki menjadi mangsa eksploitasi. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini