KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, meneruskan siasatan terhadap syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang dilakukan menerusi Op Global bermula sejak 2 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini giat mengumpul bukti dan segala keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.
“Siasatan masih lagi berjalan. Kita (polis) kumpulkan segala keterangan yang menjurus kepada kesalahan dalam sesuatu undang-undang.
“Hasil siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut. Kita hanya menyiasat dan kuasa pertuduhan ditentukan AGC,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan siasatan PDRM mendapati GISBH dipercayai masih mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang diharamkan pada 1994.
Razarudin dilaporkan berkata, ini berikutan hasil penemuan buku-buku dan risalah berkaitan tarekat itu melalui serbuan dijalankan di premis GISBH dalam operasi fasa keempat, 20 September lalu.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya percaya, daripada risikan dan keterangan yang diperoleh, GISBH ini masih mengamalkan tarikat Aurad Muhammadiyah kerana ada buku Abuya dan zikir.
Selain itu, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) juga akan menyiasat dan mengesan wang dikatakan mahar yang dikutip daripada setiap zon oleh GISBH.
Polis akan meneruskan siasatan terhadap GISBH secara berfasa dengan berhati-hati mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.