comscore
Tumpuan :
Nasional

Golongan muda perlu fahami sejarah, tebus maruah negara – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI diwujudkan bertujuan meningkatkan ilmu kenegaraan dan mengukuhkan semangat patriotik dalam kalangan golongan muda di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu anak muda memahami sejarah negara dalam usaha menyemarakkan semangat baharu untuk menebus maruah dan mengangkat martabat Malaysia.

“Ini tugas anak-anak muda yang ramai pada hari ini, anak muda harus tahu sejarah kita, bangga dengan sejarah kita, menyemarakkan semangat yang ditanam (bahawa) negara ini merdeka.”

“Merdeka untuk berdaulat, merdeka untuk membela nasib rakyat, merdeka untuk meletakkan dasar tata kelola pemerintahan dan kenegaraan baik yang menentang kecurangan serta rasuah. Maknanya menyemarakkan semangat baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Mohd Haswandi Ahmad.

Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI yang diselaras oleh AKM menggabungkan kaedah konvesional dan pendigitalan serta disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan MADANI.

Ia mengadunkan tiga elemen utama iaitu sejarah kenegaraan, pemahaman terhadap perlembagaan persekutuan dan penghayatan Rukun Negara dengan modul berbentuk kursus separuh hari, kursus satu hari dan kursus tiga hari dua malam.

Antara pengisiannya ialah sesi penetapan minda, ceramah, pasca normal dan interaktif kenegaraan.

Dalam pada itu, Anwar mahu anak muda merebut peluang dengan pelbagai kemajuan teknologi selain sedia berdepan realiti dan cabaran serta melangkah dengan semangat baharu.

“Kalau dahulu, kita dikenali dengan industri pembuatan sekarang dengan tenaga, teknologi maklumat, digital dan AI (kecerdasan buatan), pusat data dan semikonduktor, dan saudara tahu, syukur (bahawa) Malaysia diiktiraf sebagai pusat semikonduktor ulung di rantau ini.”

“Semua syarikat utama dalam bidang digital, teknologi baharu, AI, masuk ke Malaysia, ada Microsoft, Google dan syarikat semikonduktor terulung dari Eropah, jadi anak muda harus rebut peluang itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini