comscore
Tumpuan :
Nasional

Golongan wanita dipelawa sertai PERANTIS

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Golongan wanita dipelawa membuat permohonan menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin dalam kalangan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, permohonan telah dibuka sejak 10 Jun lalu hingga 30 Jun ini.

“Tokoh wanita dipelawa membuat permohonan secara dalam talian melalui pautan yang disiarkan di laman web rasmi KPWKM dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

“Borang permohonan yang lengkap bersama kertas cadangan pelaksanaan program juga boleh dihantar kepada pihak urus setia sama ada secara serahan tangan, pos ataupun melalui e-mel,” menurut kenyataan itu.

Program PERANTIS yang berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu dan kepakaran diperkenalkan susulan pengumuman inisiatif sebanyak RM5 juta bagi memperkasa kepimpinan wanita melalui bimbingan tokoh wanita berjaya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lalu.

Antara objektif program berkenaan adalah melahirkan lebih ramai pemimpin dalam kalangan wanita terutama di peringkat pembuat keputusan yang mampu untuk memimpin masyarakat ke arah negara maju dan berdaya saing.

Ia seterusnya mengukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan pemimpin wanita dan pemimpin pelapis atau bakat wanita.

“PERANTIS memberi keutamaan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan wanita dalam bidang ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan lain-lain bidang profesional yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan PERANTIS boleh diajukan melalui urus setia PERANTIS iaitu Bahagian Penilaian, Pemantauan dan Pengurusan Pengetahuan JPW di nombor 03 8323 1616/1618/1620/1596 atau email [email protected].

Permohonan dan pemilihan PERANTIS adalah berdasarkan syarat-syarat asas peraturan yang telah ditetapkan.

Garis panduan tatacara permohonan dan pelaksanaan PERANTIS boleh dirujuk melalui pautan https://bit.ly/perantis.

Loading...
Terkini