comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Grab Malaysia pertahan kadar baru bayaran penghantaran

PETALING JAYA: Grab Malaysia mempertahankan penyusunan bonus dan kadar bayaran penghantaran yang diumumkannya semalam.

Grab dalam kenyataan berkata pihaknya yakin struktur pendapatan baharu itu memberikan manfaat kepada rakan kongsi penghantaran yang paling aktif.

Tambahnya, pembaharuan struktur itu akan memastikan tempahan yang menghendaki lebih banyak masa dan usaha akan dibayar dengan lebih adil.

Dalam struktur baharu itu, kadar bayaran penghantaran asas dikurangkan manakala insentif dinaikkan bagi penghantaran pada waktu puncak, pengambilan jauh dan masa menunggu tambahan bagi penghantaran “pick-up.”

“Ini dilakukan dengan merujuk kepada maklum balas rakan kongsi penghantaran kami baru-baru ini tentang tempahan yang melibatkan masa menunggu lebih lama di kedai-kedai atau pengambilan yang lebih jauh,” katanya.

Lapor FMT, beberapa penunggang Grab membantah struktur baharu itu dan menggesa penunggang lain memboikot syarikat itu.

Poster menggesa penunggang Grab supaya tidak bekerja pada Jumaat ini juga tersebar di media sosial.

Seorang ahli kumpulan Facebook untuk penunggang, Ameruddin Abdul Halim tidak bersetuju dengan pengurangan kadar bayaran penghantaran asas tetapi menggesa agar semua pihak memahami perkara ini dengan pragmatik.

“Suka tak suka, kena akui, inilah ‘nature’ kerja yang tak ada kontrak macam kerja gig ni, memang tak sesuai untuk jadi karier jangka masa panjang,” katanya dalam komen.

Bagaimanapun, seorang lagi ahli kumpulan tersebut, Syana Syazana berkata tidak salah penunggang “memperjuangkan hak mereka.”

Tambahnya, kadar bayaran penghantaran yang dikurangkan tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan penyelenggaraan kenderaan memakan kos.

Sementara itu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) berkata mereka tidak akan menyertai protes itu, dengan presidennya, Zulhelmi Mansor berkata persatuan itu akan kekal berkecuali dalam isu ini.

Pada 4 Ogos 2022, kira-kira 100 penghantar makanan menyerahkan memorandum di ibu pejabat Grab di Petaling Jaya, mengadu tentang kadar bayaran penghantaran rendah yang menyebabkan mereka terpaksa bekerja lebih lama.

Mereka menunggang ke ibu pejabat Grab dari 10 tempat perhimpunan di Lembah Klang sebagai sebahagian daripada “Food Delivery Blackout” yang berlangsung selama 24 jam.

Loading...
Terkini