
KUALA NERUS: Biarpun sedih kerana tidak ditemani ahli keluarga, graduan dari Palestin, Dr Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, tetap menguatkan semangatnya naik ke pentas untuk menerima skrol Ijazah Kedoktoran (PhD) pada majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.
Hanan Kamel antara 3,608 graduan UniSZA yang masing-masing menerima PhD, sarjana, sarjana muda dan diploma pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA.
Hanan Kamel berkata kali terakhir dia berhubung dengan keluarga di Gaza adalah menerusi media sosial, semalam.
“Keluarga sempat mengucapkan tahniah kepada saya semalam, namun sedih apabila mereka tidak dapat meraikan kejayaan yang diraih bersama-sama hari ini.
“Namun, saya akui perasaan gembira bercampur sedih mengenangkan nasib keluarga di Gaza dan saya mengharapkan mereka diberi perlindungan Allah,” katanya.
Hanan Kamel berkata, dia hanya mampu berbalas pesanan ringkas kerana internet yang lemah dan kerap terputus di Gaza.
Menurutnya, serangan bertali arus oleh rejim Israel membuatkan situasi di Gaza sangat buruk dan tiada tempat selamat untuk penduduk diami.
“Ramai penduduk di sana bukan saja kehilangan ahli keluarga, malah juga hilang tempat tinggal akibat tindakan Israel yang mengebom Gaza.
“Bagaimanapun, saya bersyukur buat masa sekarang ahli keluarga saya berada di tempat yang selamat dan berharap mereka terus bertahan.
“Justeru, saya tidak tahu situasi ini akan terus berlaku dan saya hanya mampu berdoa supaya keganasan ini dapat dihentikan serta mendapat kebebasan,” katanya yang merancang mencari kerja di Malaysia.
Seorang lagi graduan PhD Fakulti Informatik & Komputeran, Saber T R Syouri, 50, berkata dia terpaksa melupakan hasrat hadir ke konvokesyen kerana sedang berlindung di Palestin.
Menurutnya, walaupun tidak dapat hadir, dia memohon semua pihak mendoakan keselamatannya dan rakyat di Gaza.
“Saya meminta maaf kerana tidak dapat hadir bersama-sama graduan lain dalam majlis yang istimewa ini kerana situasi di Gaza pada saat ini begitu bahaya.
“Justeru, saya mahu berterima kasih atas segala-galanya, terima kasih Terengganu. Terima kasih UniSZA dan terima kasih pada semua,” katanya menerusi tayangan video pada majlis konvokesyen itu.