comscore
Tumpuan :
Nasional

GRS-PH perlu teruskan gandingan pada PRN Sabah akan datang – Armizan

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali pada Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 1A di Kota Marudu hari ini. FOTO: Media GRS

Oleh: Safwan Sawi

KOTA MARUDU: Perpaduan sedia ada antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Pakatan Harapan (PH) perlu diteruskan dalam pilihan raya negeri akan datang, kata Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang namun beliau mempunyai pendiriannya sendiri.

“Sabah dan Sarawak mempunyai formula masing-masing iaitu pada hakikatnya kerajaan negeri di Sabah hari ini adalah sebuah Kerajaan Perpaduan dengan acuan sendiri melibatkan gabungan GRS-PH Plus,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 1A di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata komposisi kerajaan Sabah hari ini iaitu GRS-PH Plus dibentuk selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

“Inilah formula Kerajaan Perpaduan di Sabah, kerajaan GRS-PH Plus. Ia terbentuk pasca ‘kudeta’ yang gagal. Selain ahli dewan undangan negeri (ADUN) GRS, semua ADUN PH dan beberapa ADUN daripada parti lain membuat keputusan supaya Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan GRS amat menghargai sokongan dan kebersamaan mereka,” katanya.

Jelas Armizan lagi pembentukan sesebuah kerajaan tidak seharusnya berdasarkan faktor “ikut-ikutan” atau paksaan, tetapi perlu melalui hasil muafakat dan saling kepercayaan.

“Sekiranya sesebuah parti tidak selesa bekerjasama dengan GRS dan dizahirkan dengan cubaan ‘kudeta’, tidak adil dan tidak wajar untuk memaksa mereka untuk memilih GRS hanya kerana faktor kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.”

“Di pihak GRS, kami juga mahu mengelak risiko sejarah berulang. Tiba pilihan raya, kami mahu membentuk kerajaan yang stabil melalui permuafakatan. Bukan sahaja GRS perlu percaya kepada rakan kongsi, tetapi mereka juga perlu selesa dan yakin dengan kami,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini