Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Pengerusi DAP, Lim Guan Eng untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO itu berkata, Guan Eng seharusnya meletakkan kepercayaan kepada pemimpin baharu parti berkenaan.
“Zaman beliau telah berlalu dan berilah kepercayaan kepada kepimpinan DAP yang ada sekarang ini.
“Jangan nak menyiku mana-mana sahabatlah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan itu membidas UMNO kerana berganding bahu dengan PAS dalam mengadakan perhimpunan solidariti termasuk untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa akan diadakan pada Isnin depan.
Guan Eng berkata, ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan UMNO dalam menjadi rakan kongsi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, himpunan solidariti Najib akan diteruskan mengikut apa yang telah dirancang sebelum ini.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Addendum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.