comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Gula Premium’ tidak dikawal harga mula dijual hari ini

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dengan harga tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kebenaran penjualan gula berkenaan yang bermula hari ini diberikan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali lagi menegaskan penjualan gula putih bertapis jernih ini tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).

Syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran.

“Begitu juga (tindakan boleh diambil) kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) kepada pelanggannya,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPDN dan agensi tahun 2022 di sini hari ini.

Tambahnya, permohonan pengeluaran gula putih bertapis jernih daripada syarikat berkenaan adalah sebahagian pelan pemasaran syarikat itu untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.

Bagaimanapun, Salahuddin memberi arahan kepada MSM serta CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis kasar dan halus pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit.

Harga bahan mentah itu yang dikawal mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah RM2.85 sekilogram bagi gula putih bertapis kasar manakala RM2.95 sekilogram bagi gula putih bertapis halus.

“Ops manis akan diteruskan selama sebulan untuk pastikan walaupun telah wujud pengeluaran gula putih bertapis jernih yang diizinkan dengan harga tidak dikawal ini, tidak mengganggu atau pun tidak menjadi gantian kepada gula bertapis kasar dan halus yang saya sifatkan sebagai ‘gula rakyat’ yang mesti berada di pasaran minimum 42,000 tan sebulan.

“Oleh itu sebagai syarat kepada KPDN memberikan kelulusan pengeluaran gula ini, bekalan sedia ada jadi syarat kelulusan dan mesti berada di pasaran,” katanya.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya tidak panik dengan kebenaran pengeluaran gula putih bertapis jernih kerana ‘gula rakyat’ akan tetap berada di pasaran dengan kualiti sedia ada.

Ditanya sama ada kerajaan akan menetapkan harga siling gula putih bertapis jernih, Salahuddin berkata, ia akan ditentukan oleh syarikat pengeluar namun meminta supaya tidak melampau dan dipantau oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

 

Loading...
Terkini