comscore
Tumpuan :
Nasional

Guna duit sumbangan buat upah haji untuk Allahyarham Muhamad Syafiq – Bapa

KUANTAN: “Duit sumbangan yang diterima digunakan untuk upah haji buat arwah,” kata Ahmad Said Md Piah, bapa Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq.

Muhamad Syafiq adalah antara dua anggota polis yang maut dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 2.45 pagi, 17 Mei lalu.

Menurut Ahmad Said, 65, keputusan itu dibuat secara sepakat oleh beliau dan isteri serta semua ahli keluarganya.

“Alhamdulillah, duit sumbangan yang diterima ini digunakan untuk upah haji ini buat Allahyarham Muhamad Syafiq.Terima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Gambang, di sini hari ini.

Ahmad Said berkata demikian selepas dikunjungi Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan M Jayabarathi yang juga bekas Timbalan Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Pada kunjungan itu, Yahaya mewakili ketua-ketua jabatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan Jayabarati menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga Allahyarham.

Sementara itu, Yahaya berkata sumbangan itu diharap membantu meringankan beban keluarga Allahyarham kerana kehilangan anak yang juga seorang anggota polis yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas.

Bagi Jayabarathi pula, sumbangan peribadi itu yang dihulurkan itu lebih kepada sebagai tanda prihatin dan menghargai jasa serta pengorbanan Muhamad Syafiq.

Dalam kejadian itu, Muhamad Syafiq, 24, dan seorang lagi rakan setugasnya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, tercedera.

Penyerang, usia 21 tahun turut mati akibat ditembak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini