comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Guna jengkaut bawa keluar warga emas terperosok bawah MPV

FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Sebuah jengkaut terpaksa digunakan untuk mengangkat kenderaan pelbagai guna (MPV) bagi mengeluarkan seorang wanita warga emas yang terperosok di bawahnya selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Utama Putera Indah, Tongkang Pechah, semalam.

Kejadian berlaku jam 4 petang dan ketika itu, mangsa dilaporkan masih bernyawa sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, selepas lebih dua jam menerima rawatan, mangsa berusia 69 disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kemalangan berlaku ketika MPV jenis Toyota Estima dipandu wanita berusia 33 tahun menghala ke Tongkang Pechah.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa keluar dari simpang.

“Akibatnya, pemandu Estima tidak sempat mengelak sehingga berlaku pertembungan.

“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke HSNI untuk rawatan lanjut namun pada jam 6.30 petang, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa seorang surirumah dan menetap di Taman Bukit Perdana, di sini.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar tampil bagi ke mana-mana balai polis atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini