comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Guna kod QR salur aduan kebersihan makanan, bazar Ramadan

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Pengunjung bazar Ramadan di pusat kerajaan di sini boleh menyalurkan aduan kebersihan dan keselamatan makanan melalui Kod QR yang disediakan di bazar berkenaan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setiap aduan diterima akan diteliti dan diambil tindakan dengan secepat mungkin.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya akan meneruskan operasi meliputi kempen keselamatan makanan yang komprehensif bagi memastikan makanan yang dijual selamat dan berkualiti.

Katanya, operasi bertujuan melindungi kesihatan awam dan mempromosi amalan keselamatan makanan dalam kalangan peniaga dan pengguna.

“Kementerian juga bercadang melaksanakan inisiatif Kod QR ini ke seluruh negara yang diadakan secara berperingkat,” katanya selepas mengadakan lawatan dan melancarkan Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 hari ini.

Pada Ops Ramadan 2022, sebanyak 19,951 premis makanan diperiksa dan daripada jumlah itu, 38 premis dilaporkan tidak bersih dan dikenakan tindakan penutupan.

Selain itu, sebanyak 1,030 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, aktiviti ‘walkabout’ diadakan adalah permulaan bagi pelancaran Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023.

Ia akan diperluas ke seluruh negara, selain penggunaan Kod QR sebagai medium bagi memudahkan pengguna untuk menyalurkan maklumat.

Loading...
Terkini