comscore
Tumpuan :
Nasional

Cagar KWSP untuk pinjaman bank tidak langgar akta

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Indra Mulia Ipoh Perak. – FOTO: NSTP

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

IPOH: Kerajaan menafikan langkah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan hasil caruman sebagai cagaran bertentangan dengan akta KWSP 1991.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah diperhalusi dan dibincangkan dengan pihak KWSP sebelum kaedah berkenaan diumumkannya.

“Kita tak bagi (keluarkan), kerana sekarang ini bukan lagi waktu COVID-19, mereka boleh bekerja.

“Tetapi ada beberapa kes yang mendesak, umpamanya dia mempunyai wang tetapi dia tidak boleh bayar yuran pendidikan anaknya di luar negara dan kita tidak benar keluarkan KWSP.

“Jadi dia boleh guna kaedah itu tetapi dengan syarat-syarat yang ketat,” katanya selepas merasmikan Hari Air Sedunia 2023 di Ipoh hari ini.

Jelasnya, kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.

Jelasnya, ucapan beliau di Dewan Rakyat berkenaan kaedah menggunakan caruman KWSP sebagai cagaran bank perlu diteliti sebelum mana-mana pihak mengeluarkan pandangan.

“Ada kes kita lihat munasabah sebab mungkin ada wang yang banyak di KWSP jadi kita boleh benarkan (jadi cagaran bank),” katanya kepada Buletin TV3.

Terdahulu, beliau mengumumkan kerajaan akan memperkenal kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Bagaimanapun, timbul dakwaan mengatakan tindakan membenarkan caruman KWSP dijadikan sebagai cagaran sebagai melanggar undang-undang mengikut Akta KWSP 1991 berikutan simpanan itu hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan tertentu sahaja.

Loading...
Terkini