Tumpuan :
Nasional

Guna pangkalan haram rentas Sungai Golok akan ditahan bermula 1 Disember depan

Sungai Golok di sempadan memisahkan Malaysia dengan Thailand. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram untuk ke Malaysia-Thailand sepanjang Sungai Golok di negeri ini, berkuatkuasa 1 Disember depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen.

“Saya sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawainya supaya mengadakan pemantauan 24 jam di sempadan.

“Mereka (rakyat Malaysia) yang keluar ikut Sungai Golok dan kembali semula ke Malaysia, kita akan tangkap berkuatkuasa 1 Disember ini. Begitu juga dengan rakyat Thailand.

“Justeru itu, kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan pangkalan haram sama ada untuk ke Thailand dan Malaysia, sebaliknya menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Seksyen 5(1) Akta Imigresen memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000.

“Tujuan kita memperketatkan sempadan bagi mengelak berlaku jenayah rentas sempadan dengan membawa barangan salah.

“Selama ini kita tidak guna Seksyen 5(2) Akta Imigresen, namun bermula 1 Disember ini kita akan kuatkuasakannya selepas kita mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi murid serta pelajar sekolah, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi memperincikan perkara ini.

“Kita akan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu pelajar sekolah dimana ada rakyat di sini sekolah di Thailand dan ada juga rakyat sana belajar di Malaysia.

“Kita akan bincang sama ada operasi ICQS akan dibuka lebih awal untuk kumpulan pelajar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini