SUBANG JAYA: Seorang ejen hartanah sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun di kawasan Kampung Bersatu, Puchong bagi mengelak membayar denda kehilangan Mykad, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 36 tahun itu membuat laporan polis jam 9.30 malam memaklumkan, semasa berjalan kaki dia disamun dua lelaki menaiki motosikal jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti dengan menggunakan pisau.
“Di dalam ketakutan, dia menyerahkan barang berharga kepada suspek dengan nilai kerugian RM70.
“Hasil soal siasat terhadap pengadu dapati kejadian samun jalanan tidak berlaku. Dia membuat laporan polis palsu kerana kad pengenalan telah hilang dan enggan membayar denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Kertas siasatan akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan pertuduhan ke atas pengadu.
“Pihak polis meminta orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu,” katanya.
Wan Azlan berkata, mana-mana orang yang membuat laporan polis palsu adalah kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.