Tumpuan :
Nasional

Guna tali lembu ‘tambat’ kereta, elak hanyut dibawa arus

Penduduk di beberapa buah kampung di Kuala Krai terpaksa menggunakan tali lembu menambat kenderaan mereka pada pokok kelapa sawit bagi mengelakkannya hanyut dibawa arus. FOTO/Ihsan Penduduk

KUALA KRAI: Demi menyelamatkan nyawa dan harta benda, penduduk yang terjejas banjir semestinya terpaksa melakukan pelbagai usaha sekalipun pendekatan yang diambil ada kalanya tidak ‘masuk akal’.

Ada usaha yang diambil jelas meruntun jiwa dan menyayat hati, malah tidak kurang juga ada yang mencuit hati.

Tetapi apa yang dilakukan penduduk di beberapa buah kampung di Kuala Krai tetap menarik perhatian apabila menggunakan tali lembu untuk ‘menambat’ kenderaan mereka di pokok kelapa sawit bagi mengelakkannya hanyut dibawa arus.

Penduduk Kampung Mial, Hussin Hassan, 64, berkata, keadaan hujan yang berterusan selama beberapa hari menyebabkan kawasan di sekitar dinaiki air terlalu cepat sehingga tidak sempat mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi.

“Bagi mengelakkan kereta saya dihanyut arus, saya mengambil langkah dengan menambatnya pada pokok sawit menggunakan tali lembu.

“Walaupun kereta sudah ditenggelami banjir, namun sekurang kurangnya ia dapat diselamatkan daripada terus hanyut,” katanya.

Ujarnya, dia amat berharap agar tali lembu yang digunakan untuk menambat kereta pada pokok dapat bertahan sehingga air surut.

“Sudah pastinya selepas ini banyak kos yang perlu dikeluarkan untuk membaiki kereta yang rosak ditenggelami banjir,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini