Tumpuan :
Nasional

Guru berlari dengan murid kudung kaki, terima Anugerah Khas Inspirasi APBN 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) menyampaikan Anugerah Khas kepada Intan Zulaikha Jusoh (kanan) dan Muhammal Aqil Naufal Zahiran pada Majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2023 di Putrajaya, hari ini. FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Usaha murni guru, Intan Zulaikha Jusoh memotivasikan anak muridnya menamatkan larian 100 meter (m) dengan menggunakan tongkat, disanjung apabila beliau dinobatkan penerima Anugerah Khas Inspirasi pada Anugerah Perdana Belia Negara (APBN), hari ini.

Tindakan menyentuh hati guru Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1, Jerantut, Pahang itu berlari bersama muridnya, Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11, yang kudung sebelah kaki hingga ke garisan penamat tular menerusi laman sosial, baru-baru ini.

Intan Zulaikha, 35, yang ditemani Muhammad Aqil, hari ini menerima Anugerah Khas Inspirasi yang pertama kali diperkenalkan dalam APBN 2023 daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada majlis penganugerahan berkenaan, di sini.

Ketika ditemui pemberita, Intan Zulaikha berkata, beliau membantu Muhammad Aqil kerana muridnya itu meminati bidang sukan dan berhasrat menjadi atlet.

“Kalau ikutkan, dulu dia banyak tidak ikuti sukan kerana ketidakupayaan fizikal, tetapi apabila saya tanya dia nak bersukan atau tidak, dia jawab nak.

“Sebagai guru dan anak murid berminat (untuk bersukan), saya akan cuba cungkil bakat murid supaya lebih menonjol,” katanya.

Beliau berkata Muhammad Aqil kini menjalani latihan sukan, selain menyertai Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) atas dorongan pihak sekolah dan keluarganya.

“Saya berterima kasih atas anugerah ini. Sememangnya sebelum ini saya tidak tahu tindakan saya berlari dirakam. Selepas dua hari baru tahu ditularkan, ini semua spontan,” katanya.

Muhammad Aqil pula memaklumkan, berhasrat menjadi atlet kebangsaan dalam sukan bola sepak pada masa akan datang.

“Saya ingin wakili negara nanti,” katanya berbangga gurunya menerima anugerah khas inspirasi berkenaan.

Muhammad Aqil yang juga murid Program Pendidikan Inklusif Penuh di sebuah sekolah rendah di Pahang, kehilangan kaki kirinya akibat jangkitan kuman pada 2015.

APBN ialah platform pengiktirafan tertinggi kepada sumbangan dan pencapaian belia yang dimulakan sejak 1988.

Loading...
Terkini