comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guru besar didakwa 7 pertuduhan pecah amanah

Roslan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah keseluruhan RM3,600 pada 2017 hingga 2019. -FOTO: Faiz Anuar

SHAH ALAM: Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah keseluruhan RM3,600 membabitkan sewaan ‘vending machine’.

Tertuduh, Roslan Zakaria, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut semua kertas pertuduhan, Roslan sebagai seorang penjawat awam iaitu guru besar yang diamanahkan dengan wang tunai berjumlah RM3,600 daripada seorang lelaki sebagai wang sewaan meletakkan ‘vending machine’ di sebuah sekolah rendah di Klang.

Dia dituduh melakukan pecah amanah jenayah berhubung dengan wang terbabit apabila tidak mengkreditkan wang ke dalam Akaun Kumpulan Sumbangan Wang Awam (SUWA) dan menggunakannya untuk diri sendiri.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda.

Roslan didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Bandar Baru Sungai Buloh antara 9 Mac 2017 hingga 10 Februari 2019.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Roslan yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan dikurangkan berikutan dia menanggung seorang isteri dan tiga anak yang masih belajar.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport pada mahkamah serta melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor pada setiap awal bulan.

Mahkamah menetapkan 5 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini