comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru buat laporan polis nafi video tular pelajar dipukul

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Polis menerima laporan daripada seorang guru hari ini, yang menafikan video tular seorang pelajar sekolah menengah di Manggatal cedera akibat dipukul.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan mendapati guru terbabit menerima maklumat daripada orang awam pada jam 6.30 pagi tadi.

Katanya, pelajar lelaki tingkatan tiga itu ditemui tertiarap di tepi jalan berdekatan sekolah itu.

“Selepas diperiksa, guru terbabit tidak menemui sebarang kecederaan yang dialami oleh pelajar terbabit.

“Polis menerima laporan daripada guru berkenaan yang memaklumkan video tular mendakwa pelajar itu dipukul atau terbabit pergaduhan adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman video atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan pihak berkuasa.

“Siasatan masih dijalankan dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang pelajar lelaki tertiarap dan tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran sekolah berkenaan di Tebobon, Manggatal.

Individu yang merakam kejadian itu bertanyakan kepada pelajar lain yang turut berada di lokasi sama ada mereka mengenalinya atau tidak.

Pelajar terbabit kemudian dilihat sedarkan diri bagaimanapun gagal menjawab apabila ditanya sama ada dia dipukul atau tidak.

Individu yang berada di lokasi kejadian kemudian menyarankan supaya kejadian itu dilaporkan kepada polis bagi mengelakkan kejadian lebih teruk berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini