Tumpuan :
Nasional

Guru didakwa tampar, tumbuk, rentap rambut murid

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang juga penghuni sebuah pusat jagaan di bandar raya ini mendakwa ditampar dan ditumbuk seorang guru hingga mengalami lebam di wajah.

Pengurus operasi pusat jagaan itu berkata, pada 1.30 petang semalam dia dimaklum seorang kanak-kanak lelaki penghuni pusat itu ditampar dan ditumbuk seorang guru.

Beliau berkata, kejadian itu didakwa berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di Johor Bahru.

Katanya, mangsa ditampar dan ditumbuk di pipi sebelah kanan oleh seorang guru lelaki disebabkan berlaku perselisihan faham dengan murid lain di makmal komputer.

“Kejadian mengakibatkan mangsa mengalami sakit dan lebam di bahagian pipi sebelah kanan.

“Saya berasakan tidak wajar bagi seorang guru bertindak demikian terhadap murid sekolah,” katanya ketika dihubungi.

Pengurus berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Larkin di sini semalam.

Sementara itu, menerusi perkongsian di media sosial, seorang wakil pusat jagaan juga mempersoal tindakan guru berkenaan.

“Boleh ke cikgu lelaki sekolah sepak wajah budak? Selepas itu apabila budak jatuh menangis dia ditumbuk pula.

“Selepas itu direntap rambut dan mangsa diseret sampai ke pejabat.

“Sebab dia tiada ibu bapa, cikgu berkenaan berani berbuat begitu atau disebabkan dia tinggal di rumah kebajikan maka boleh perlakukan budak ini lebih teruk dari binatang?

“Ini bukan nak mendidik tetapi mencederakan budak,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial facebook (fb).

Beliau berkata, biarpun kanak-kanak berkenaan nakal namun guru seharusnya mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Mahu rotan dipersilakan, namun ikut SOP Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bukan belasah budak ikut nafsu sampai wajahnya terdapat kesan hitam biru.

“Kami membuat laporan polis dan serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini