comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru maut selepas terlanggar tiang lampu

 

HULU SELANGOR: Seorang guru yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut selepas terbabit dalam nahas kenderaan dipandunya yang hilang kawalan melanggar tiang lampu, tengah hari tadi.

Kejadian berlaku di Kilometer 7.5 Jalan Pintasan Rawang, menghala ke Serendah.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, siasatan mendapati mangsa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Ertiga seorang diri ketika itu dalam perjalanan dari Hospital Selayang ke rumahnya di Serendah.

Kejadian berlaku 12.45 tengah hari tadi, ketika mangsa yang berusia 39 tahun pulang dari Hospital Selayang kerana sedang menjalani dialisis untuk mengambil darah.

Difahamkan mangsa bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruntung satu.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam kenyataan media.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian dalam pada itu, diminta tampil bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini