comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru pukul kepala murid di perhimpunan disiasat JPNT

Gambar daripada video yang ditularkan melalui Facebook (FB) berdurasi 41 saat mengenai seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid di sekolah itu. FOTO: Tangkap layar video tular / Facebook

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang guru memukul kepala murid di sebuah sekolah rendah di bandar ini, semalam.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman@Abdullah berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Kita mengesahkan tindakan awal sudah dilakukan selepas menyaksikan video yang ditularkan melalui Facebook (FB) berdurasi 41 saat mengenai seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid di sekolah itu.

“Kita difahamkan kejadian itu berlaku di dewan perhimpunan ketika perhimpunan diadakan sempena program cegah rokok dan vape kira-kira jam 10 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, video insiden itu dirakamkan guru daripada sekolah itu dan dimuatnaik melalui FB sejak semalam.

Turut difahamkan, guru itu bertindak memukul kepala dan menolak murid atas kesalahan tidak berdiri tegak ketika perhimpunan diadakan.

Guru yang merakamkan video itu dikatakan tidak bersetuju dan kurang senang dengan tindakan dan kaedah pentadbiran sekolah berkenaan.

Seorang guru yang enggan namanya disiarkan berkata, dua murid lelaki yang hanya melakukan kesalahan tidak berdiri tegak dipukul guru berkenaan pada perhimpunan itu.

“Biarlah nak saman atau nak kena apapun, kita nak muat naik juga, tiada niat nak buka aib, tetapi untuk dijadikan peringatan kepada orang.

“Mu cikgu ke, guru besar ke atau penolong kanan (PK), tak kisahlah, kita bukannya bertujuan nak mengaibkan, tetapi dia yang mengaibkan diri sendiri,” komen beberapa pengikut FB berkenaan.

Loading...
Terkini