comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jeti runtuh, guru terjun laut selamatkan lebih 20 murid  

Tangkap layar murid terjatuh ke laut akibat jeti runtuh di Kampung Pulau Pababag, Semporna. – FOTO: Tangkap layar video tular

KOTA KINABALU: Lebih 20 murid  Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, Semporna berdepan detik cemas selepas terjatuh ke dalam laut akibat jeti runtuh di Kampung Pulau Pababag pagi tadi.

Bagaimanapun tindakan pantas beberapa guru yang berada di tempat kejadian yang sanggup terjun ke dalam laut berjaya menyelamatkan semua murid terbabit.

Rakaman video yang memaparkan murid lengkap berpakaian sekolah sedang terjatuh ke dalam laut turut tular di media sosial.

Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan, berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu dan semua murid serta guru dilaporkan selamat.

Katanya, kejadian itu berlaku pagi tadi membabitkan murid dan penduduk kampung.

“Guru yang turut berada di kawasan itu ketika kejadian berkenaan berlaku kemudian terjun menyelamatkan murid mereka.

Alhamdulillah, semua murid dan guru selamat,” katanya ketika ditemui Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Abdul Manan berkata, beliau sudah memaklumkan kejadian itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri berkaitan.

“Kami kemukakan video kejadian itu kepada Ahmad Zahid supaya peruntukan segera diberikan.”Beliau (Timbalan Perdana Menteri) setuju supaya jambatan dan jeti dibina secepat mungkin di kawasan itu,” katanya.

Loading...
Terkini