comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru tampar dan tumbuk empat murid selepas kantoi menghisap rokok di kawasan sekolah

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

JOHOR BAHRU: Guru yang didakwa melakukan kekasaran ke atas empat anak muridnya dalam satu kejadian di sebuah sekolah agama di Pontian, Rabu lalu, sedang disiasat pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata susulan itu juga guru berkenaan kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah.

Katanya, Pejabat Pendidikan Islam daerah berkenaan sudah mengambil tindakan segera dengan memberikan kerjasama penuh kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam siasatan berhubung insiden itu.

“Kerajaan Johor memandang serius akan dakwaan ini dan menolak sebarang penggunaan kekasaran ke atas pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Fared, semua murid terbabit dibenarkan untuk mengambil cuti.

Rabu lalu, seorang guru lelaki didakwa bertindak luar kawalan apabila menampar, menumbuk serta mencekik leher empat anak muridnya dalam kejadian di sebuah sekolah agama di Pontian.

Guru berusia 48 tahun itu dipercayai berang selepas tiga murid berusia 10 dan 11 mengintainya menghisap rokok di dalam sebuah stor.

Guru terbabit juga didakwa memarahi beberapa orang murid yang lain dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan sentiasa memastikan suasana pembelajaran di semua Sekolah Agama Kerajaan Johor berada keadaan selamat dan kondusif kepada guru-guru dan para pelajar.

“Saya memohon supaya semua pihak menghormati proses siasatan oleh PDRM dan tindakan selanjutnya termasuk tindakan tatatertib akan diambil tertakluk kepada hasil siasatan berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini