comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru wanita maut, motosikal terbabas kerana jalan rosak

Orang awam cuba memberikan bantuan kepada mangsa, Siti Sarah Mohamed Nuwawi. Foto tular

JASIN: Seorang guru wanita maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dipercayai akibat melalui permukaan jalan rosak di Jalan Gapam-Bemban, di sini, semalam.

Nahas berlaku kira-kira jam 11.20 pagi ketika mangsa, Siti Sarah Mohamed Nuwawi, 32, yang juga guru kanan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Jasin Bestari sedang menunggang motosikal menghala ke Gapam dari Bemban.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata mangsa disahkan meninggal dunia empat jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dipercayai terlanggar kawasan yang tidak rata kerana terdapat kerosakan pada permukaan jalan hingga hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di kiri jalan.”

“Akibatnya mangsa cedera parah di kepala dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang di unit kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Jamil berkata siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keadaan jalan rosak dan berlubang di tempat kejadian kemalangan. Foto tular

Sementara itu, berita nahas berkenaan tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen apabila dikaitkan berpunca akibat keadaan jalan yang rosak.

Malah ia turut mendapat perhatian aktivis dan pengasas Ikatan Silaturahim Bro­therhood (Brotherhood), Azlan Sani Za­­wawi atau lebih dikenali sebagai ‘Lando’ yang memperjuangkan isu jalan berlubang di negara ini.

Beliau turut menyeru pihak keluarga atau waris mangsa mengambil tindakan sewajarnya termasuk saman kepada pihak berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini