comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hafidz tangguh lafaz cerai, Shuhada kesal belum temui jalan penyelesaian

Nurul Shuhada kecewa dengan mendakwa Hafidz memfitnahnya menggugurkan kandungan.

SHAH ALAM: Prosiding bagi sebutan pengesahan lafaz cerai pelakon, Hafidz Roshdi dan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri ditangguhkan pada 20 Jun depan, selepas belum menemui jalan penyelesaian.

Sehubungan itu Nurul Shuhada, 29, yang ditemui Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam melahirkan rasa kesal dan sedih apabila apa yang diharapkan tidak berlaku.

“Ya, saya kesal sebab hari ini saya ingatkan semuanya akan selesai. Saya sudah bersedia untuk menjalankan perbicaraan, tetapi pihak sana (Hafidz) minta penangguhan. Jadi, saya agak terkejut.

“Saya mahu panjangkan buat apa lagi sebab dia pun sudah ada pilihan, jadi saya reda. Allah sudah tulis takdir saya sebegitu,” katanya.

Nurul Shuhada yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual media meluahkan perasaan kecewa dengan mendakwa Hafidz memfitnahnya menggugurkan kandungan.

“Semua sudah maklum bahawa saya keguguran dan netizen pun bertanya siapa yang memfitnah saya, tetapi bukan netizen, sebaliknya yang memfitnah saya adalah individu yang mengaku membuat perkara demikian (Hafidz).

“Takkanlah saya mahu menggugurkan, saya mengandung dan bayi ini dalam rahim saya. Anak-anak pun sudah memberi nama iaitu Uwais.

“Jadi, sekarang kes ini dalam siasatan sebab saya belum memberi kenyataan kepada polis dan pulang ke Perlis hari ini barulah saya akan memberi kenyataan di Balai Polis Kangar,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Nurfarhana Abd Manaf mengesahkan 20 Jun depan adalah tarikh baharu untuk pengesahan lafaz cerai.

“Ya, sebenarnya kami sudah bersedia untuk perbicaraan siasatan bagi kedua-dua pihak walaupun semalam baru terima jawapan pembelaan dari peguam syarie mewakili Hafidz.

“Kami tiada masalah dan Nurul Shuhada sendiri pun bersedia, dia sudah memakai cantik hari ini untuk memberikan keterangan secara lisan, tetapi akhirnya pihak plaintif meminta keterangan berjalan secara bertulis.

“Pihak mahkamah tetapkan dan beri peluang kepada kedua-dua pihak memberi keterangan secara bertulis dan bicara pada 20 Jun depan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 9 Mei bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan Nurul Shuhada.

Ini kerana terdapat isu baru apabila Nurul Shuhada mendakwa suaminya melafazkan cerai terlebih dahulu melalui aplikasi WhatsApp pada 22 Januari lalu.

Berikutan itu, Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan 9 Mei selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai tersebut.

Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Loading...
Terkini