comscore
Tumpuan :
Nasional

Hafiz al-Quran dan anak pemandu lori cemerlang STAM

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Pernah putus asa di tengah jalan dan kembali bangkit semula dengan dorongan kuat ibu bapanya, penghafaz 30 juzuk Al-Quran, Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari akhirnya diumumkan sebagai pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023, Negeri Terengganu.

Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari yang memperolehi sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan ketika ditemui berkata dia berasa seolah-olah masih bermimpi dengan keputusan yang diperolehinya itu.

“Saya pernah putus asa, di tengah-tengah jalan untuk menghabiskan STAM saya hilang arah.

“Syukur Alhamdulillah, saya dapat dorongan daripada ibu bapa yang sering memberi nasihat dan berdoa untuk saya”, katanya.

Menurutnya, amalan yang istiqamah dalam mengulangkaji pelajaran serta menjaga hubungan baik dengan keluarga, guru serta rakan-rakan adalah rahsia kecemerlangannya dalam peperiksaan tersebut.

Kejayaan sama turut dikongsi anak pemandu lori, Nor Aidil Syawani Mohd Rowazi.

Jelasnya membina hubungan baik dengan guru dan rakan adalah petua kejayaannya dan sentiasa melakukan solat dhuha dan membaca al-Quran.

Kedua-dua pelajar itu antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA).

Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini