comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Hajat bawa arwah bercuti di Janda Baik tidak kesampaian’ – Bapa budak maut dilanggar MPV

Mohd Faizal Aziz menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Azzim Imni yang meninggal dunia selepas dilanggar MPV petang semalam. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Bapa kepada Muhammad Azzim Imni, 8, yang maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) semalam bersyukur kerana hajat anaknya untuk berjalan ke Kelantan tertunai apabila dibawa bapa saudaranya.

Bagaimanapun, Mohd Faizal Aziz, 36 berkata, hajat membawa arwah bercuti Sabtu ini, tidak kesampaian.

Artikel berkaitan: Budak lapan tahun maut, basikal dilanggar MPV

”Jika diikutkan perancangan, kami akan bercuti di Janda Baik, Bentong kerana sudah menempah chalet dan baju baharu, Sabtu ini.

“Namun, hajat membawa arwah tidak kesampaian. Tetapi hajat arwah berjalan ke Kelantan tertunai apabila bapa saudara membawanya kerana saya bekerja,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Faizal menyifatkan anak sulung daripada tiga beradik itu, seorang yang senang bergaul, berdikari dan suka bergurau.

“Arwah memang anak yang tidak suka meminta tetapi suka apabila dibawa berjalan-jalan. Arwah juga suka bergurau dengan dua adik serta keluarga terdekat.

“Cuma apa yang saya perasan sejak minggu lalu, dia kurang selera makan biarpun saya ingin menyuapnya. Tetapi saya gembira kerana pada cuti persekolahan dia pergi ke Kelantan mengikut bapa saudaranya,” luahnya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 petang semalam, Muhammad Azzim meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, Faizal berkata, arwah anaknya keluar bermain bersama adiknya berusia enam tahun.

“Arwah berbasikal manakala adik berjalan kaki dan hanya bermain di depan rumah. Tetapi kawan arwah mengajak bermain di taman kira-kira 200 meter dari rumah dan ketika dalam pulang, berlaku kemalangan,” katanya.

Sementara itu, jenazah murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Kampung Padang itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Muadzam Shah, Rompin.

Loading...
Terkini