comscore
Tumpuan :
Nasional

Hajat pulang beraya ke Sabah tidak kesampaian – Bapa

SEREMBAN: Suami isteri maut yang maut dalam kemalangan di Persiaran Forest Height 1, di sini, pagi tadi dilaporkan berhajat untuk pulang beraya kali pertama ke Sabah.

Tambah menyedihkan ahli keluarga, pemergian pasangan yang baru berkahwin setahun lalu itu meninggalkan anak perempuan berusia lapan bulan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, Aswan Sulaiman, 29 dan Nur Khairunnisya Samsudin, 23 dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Senawang dengan menaiki sebuah motosikal.

Samsudin Basirun, 52, bapa kepada Nur Khairunnisya berkata, dia menyangka anak dan menantunya hanya terbabit dalam kemalangan biasa ketika dihubungi polis pagi tadi.

“Ketika itu saya di tempat kerja dan polis hubungi memaklumkan anak kemalangan.

“Saya fikir ia kemalangan biasa saja, namun apabila polis beritahu kedua-dua anak saya sudah tiada, saya rasa macam nak pengsan,” katanya ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, hari ini.

Samsudin berkata, kedua-dua anak menantunya tidak menunjukkan sebarang tanda ketika bersahur bersama awal pagi tadi.

“Namun anak perempuan saya sangat teruja untuk pulang berhari raya di Sabah iaitu rumah keluarga suaminya dan difahamkan mereka sudah membeli tiket penerbangan.

“Mereka tidak pernah langsung pulang ke Sabah selepas berkahwin. Ketika majlis perkahwinan setahun lalu, pihak besan yang datang ke sini.

“Tapi memandangkan anak mereka (cucu) sudah berusia lapan bulan, saya suruh mereka pulang bertemu keluarga di sana dan yang sedihnya tiket kapal terbang sudah dibeli, begitu juga baju raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan berlaku membabitkan motosikal dinaiki mangsa dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu perempuan berusia 19 tahun datang dari Seremban Jaya menghala ke sebuah kolej tingkatan enam di Forest Height.

“Apabila sampai di lokasi, kereta itu dikatakan membelok ke simpang kanan menuju ke Persiaran Forest Heights 2 dan pada masa sama motosikalditunggang mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai melanggar sisi kiri kereta terbabit,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu mengakibatkanpenunggang dan pembonceng motosikal mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadianboleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini