comscore
Tumpuan :
Nasional

HAJI 1444H: Bergenang air mata saat tiba di tanah haram

FOTO: NSTP

MADINAH: Terharu, lega, malah ada yang menitiskan air mata kegembiraan…

Itu antara riak wajah yang mewarnai suasana ketibaan 284 jemaah haji Malaysia melalui penerbangan pertama (KT1) ke Madinah, hari ini.

Mereka dilihat bersemangat ketika tiba di hotel penginapan, Hotel Saja Al-Madinah, kira-kira jam 8.10 pagi selepas pesawat selamat mendarat pada jam 7 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, biarpun menempuhi perjalanan udara selama kira-kira sembilan jam.

Jemaah haji, Rodiah Othman.

Seorang jemaah, Rodiah Othman, 64, tidak dapat menahan sebak kerana akhirnya menerima panggilan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu selepas sekian lama menunggu.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur Allah SWT memakbulkan doa kerana memang sudah berhajat sangat dan menunggu lama untuk menunaikan ibadah haji. Malah, saya sudah menghadiri kursus haji sejak 1995.

“Cuma, terasa sedih kerana tidak dapat menunaikan haji bersama suami, Abdullah Che Bakar yang meninggal dunia pada 2020,” katanya yang menerima bantuan subsidi sebagai jemaah haji B40.

Rodiah yang berasal dari Sungai Limau Luar, Yan, Kedah berkata, dia bekerja sebagai tukang jahit dan saban tahun berusaha menyimpan hasil upah untuk menunaikan haji.

Jemaah haji, Che Aziz Che Omar, bersama isteri, Rohani Mustapha.

Pesara kerajaan, Che Aziz Che Omar, 63, dari Machang, Kelantan, juga menzahirkan kesyukuran tidak terhingga atas panggilan menjadi Dhuyufurrahman kali ini bersama isterinya, Rohani Mustapha, 62.

Sebagai persediaan untuk menunaikan ibadah, bekas kakitangan Lembaga Getah Malaysia itu dan isteri sentiasa mengikut nasihat dan panduan Lembaga Tabung Haji (TH) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami minum banyak air, mengambil vitamin dan cuba kurangkan terdedah kepada sinaran matahari terik sebagaimana disarankan KKM. Kesihatan adalah penting untuk membantu kelancaran beribadah di Tanah Suci, insya-Allah,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 28 hingga 36 tahun dan enam cucu.

Loading...
Terkini