comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Haji 1444H: Pusat Rawatan TH di Madinah, yang pertama dapat kelulusan permit Arab Saudi

 

Oleh Azri Mukhlas

MAKKAH: Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji TH di Madinah menjadi pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama di Arab Saudi yang mendapat kelulusan permit oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi bagi musim haji 1444H.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kelulusan permit ini diperoleh setelah melalui pemeriksaan yang ketat oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi dengan penambahan syarat-syarat baru oleh kementerian terbabit berbanding tahun lalu.

“Dari segi nisbah saya rasa kitalah yang terbaik, nisbah kemudahan berbanding jumlah keseluruhan jemaah haji 31,600. Kemudahan-kemudahan yang disediakan, jumlah kepakaran yang ada merupakan yang terbaik dan tertinggi berbanding yang disediakan oleh pihak-pihak lain,” katanya kepada wartawan dalam satu sidang media di Ibu Pejabat TH di Abraj Al-Janadriyah.

Menurut Datuk Seri Syed Saleh lagi, seramai 296 petugas kesihatan pelbagai peringkat telah ditugaskan di Jeddah, Madinah dan Makkah sepanjang musim haji 1444H ini.

Dalam sidang media yang sama juga, Datuk Seri Syed Saleh memaklumkan terdapat lapan orang jemaah yang sedang dirawat di wad akibat pelbagai penyakit.

Bagaimanapun keadaan mereka dilaporkan stabil dan tidak membimbangkan.

“Kesemuanya adalah jangkitan paru-paru melainkan seorang yang dimasukkan ke hospital Arab Saudi sebab kecederaan akibat terjatuh.”

Sehingga kini sebanyak 30 penerbangan telah mendarat di Madinah, membawa seramai 9078 jemaah haji.

Setelah berada di Madinah selama kira-kira enam hari, jemaah ini akan dibawa menaiki bas untuk ke Makkah sehinggalah Hari Wukuf yang dijangka pada 27 Jun ini.

Loading...
Terkini