comscore
Tumpuan :
Nasional

Hajiji perlu letak jawatan Ketua Menteri serta merta – Peter Anthony

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Selepas Barisan Nasional (BN) Sabah kini Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Sabah pula hilang kepercayaan kepada kedudukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kata pesiden parti KDM, Datuk Peter Anthony.

Jelas Peter, Datuk Seri Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman sudah tidak lagi mempunyai majoriti yang cukup sebagai Ketua Menteri Sabah.

Justeru di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji hendaklah meletakkan jawatan serta-merta.

Peter yang juga ADUN Melalap menyatakan pendirian itu bersama dengan Timbalan Presiden parti KDM yang juga ADUN Limbahau, Juil Nuatim dan juga Timbalan Presiden parti KDM yang juga ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda.

“Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Sabah percaya bahawa ADUN N.12 Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor sudah tidak lagi mempunyai majoriti yang cukup sebagai Ketua Menteri Sabah,

“Merujuk kepada Perkara 6(3) dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai Ketua Parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihanraya Negeri ke-16 tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan media, lewat malam hari ini.

KDM Sabah kini menyerahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu berdasarkan dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

Berikutan tindakan ADUN KDM itu, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji difahamkan kini mempunyai sokongan 38 kerusi daripada 79 kerusi keseluruhan termasuk enam kerusi ADUN dilantik.

Loading...
Terkini