comscore
Tumpuan :
Nasional

Hak untuk hidup: ‘Bayaran darah’ alternatif terbaik

Oleh Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Hukuman mati bukan suatu bentuk hukuman yang baru dalam sistem keadilan jenayah yang bertindak sebagai langkah pencegahan dan pemulihan.

Dalam konteks ini, jenayah yang sering menjadi perbahasan ialah jenayah melibatkan Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, akta itu dipinda pada 2017 yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menghukum pengedar dadah dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.

Ringkasnya, hukuman mati tidak lagi bersifat mandatori bagi kesalahan itu.

Sebagai usaha menambah baik sistem keadilan mahkamah, kerajaan juga setuju memansuhkan hukuman mati.

Jun 2022 telah menyaksikan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Maka, persoalan yang berlegar ialah jika senario melibatkan kesalahan membunuh dengan niat seperti termaktub pada Seksyen 301 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan (Seksyen 302).

Wajarkah ia tidak lagi bersifat mandatori?

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Menurut, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, untuk kes ini undang-undang jenayah islam mempunyai alternatif terbaik.

Katanya, hukuman mati dalam undang-undang jenayah Islam ialah pilihan hukuman terakhir.

Malah, bagi kes qisas, hukuman mati boleh diganti dengan bayaran diyat.

“Walaupun undang-undang jenayah Islam (qisas) itu menyebut balasan setimpal terhadapa kesalahan yang dilakukan, namun, mengapa tidak kita memberitahu masyarakat bahawa ajaran al-Quran menuntut budaya memaafkan.”

“Dalam konteks ini, saya melihat memaafkan dengan diyat (blood money) adalah alternatif terbaik.”, kongsinya.

Jelasnya, Diyat ialah bayaran wajib dibayar penjenayah bagi kes pembunuhan atau kecederaan dengan kadarnya ditentukan syarak.
Walaupun, Diyat disifatkan sebagai ‘bayaran darah’, ia masih bersifat hukuman dan bukannya pampasan.

Jika kaedah ini dilaksanakan, maka sebahagian daripada prinsip hukum Islam dapat dilaksanakan, jelasnya.

“Kerana itu saya sebut tadi, jika waris mangsa enggan dan bertegas dengan hukuman bunuh, itu hak dia.”

“Tapi, jika konsep diyat dipraktikkan dalam perundangan sivil ia lebih baik. Walaupun, tidak laksana undang-undang jenayah Islam, nilai pampasan itu adalah mengikut nilai diyat yang ada dalam konteks dan falsafah ajaran Islam.”, demikian beliau berkata.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa hukuman mati masih ada dan apa yang dipersetujui oleh Kabinet pada Jun tahun lalu, ialah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi kuasa serta budi bicara penuh hikmah kepada hakim dan mahkamah dalam membuat keputusan lebih wajar berdasarkan kesalahan yang dilakukan, jelasnya.

“Apa yang berlaku sekarang adalah kerajaan sedang mempertimbang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bukannya hukuman mati. Itu kena faham.”

“Ini kerana apabila hukuman mati mandatori dihapuskan ia memberi kuasa serta budi bicara penuh hikmah kepada hakim dan mahkamah dalam membuat keputusan lebih wajar berdasarkan kesalahan yang dilakukan.”, tegasnya.

Loading...
Terkini