Tumpuan :
Nasional

Hakim Syarie perlu tegas dan adil dalam penghakiman – Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.- Foto fail

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin menitahkan kepada semua hakim syarie di negara ini supaya berani membuat keputusan berlandaskan prinsip keadilan menurut Islam, meskipun ada pihak cuba mempertikaikannya.

Baginda bertitah, semua hakim syarie perlu menjalankan kuasa kehakiman selaras dengan seruan Allah kepada hakim yang dilantik supaya menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan.

“FirmanNYA dalam surah al-Maidah ayat 42, bermaksud: ‘Dan jika engkau menghukum maka hukumlah antara mereka dengan adil kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

“Seorang hakim syarie perlu mempunyai sikap tegas dan berani dalam membuat sesuatu penghakiman tanpa merasa takut bahawa sesuatu keputusan yang dibuat akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Walaupun sejak kebelakangan ini, terdapat pihak-pihak yang cuba mempertikai bidang kuasa dan keputusan mahkamah syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran mahkamah sivil, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk hakim Syarie berasa ‘takut’ atau ‘bimbang’ untuk memberikan penghakiman yang adil,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat Dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Syariah, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Dan Pendaftar Kanan Serta Pendaftar Wali Raja, di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, baginda selaku Ketua Agama Islam berkenan melantik pegawai-pegawai agama Islam untuk mentadbir urusan agama Islam termasuk menasihati baginda di dalam hal pentadbiran keadilan Syariah, penentuan hukum syarak, kemaslahatan umah dan pengurusan keluarga Islam.

Raja Datuk Reza Raja Datuk Zaib Shah Alhaj dilantik sebagai Orang Besar Istana berkuatkuasa hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, hakim syarie perlu bijak menggunakan kuasa budi bicara kehakimannya bagi memastikan keadilan kepada semua pihak di dalam sesuatu prosiding mahkamah.

“Dalam penghakiman juga, hakim syarie hendaklah memastikan keputusan yang dibuat itu adalah adil dan menunjukkan hikmah kepada semua pihak.

“Hakim syarie perlu memastikan agar tidak berlaku sebarang kelewatan tidak munasabah dalam mengendali dan membuat sesuatu keputusan sehingga boleh menjejaskan hak dan kebajikan mereka yang terbabit di dalam sesuatu prosiding mahkamah.

“Beta ingin berpesan agar hakim syarie sentiasa bersedia dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran perundangan dan hukum syarak untuk memperkasakan kehakiman Islam.

“Hakim syarie juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang semasa khususnya Perlembagaan Persekutuan yang turut bersangkutan dengan pentadbiran agama Islam negeri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar setiap Pendaftar-pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik, menjalankan amanah dalam menguruskan perkahwinan orang Islam.

Titah baginda, pengurusan pendaftaran perkahwinan orang Islam amat penting untuk menjaga dan memelihara nasab umat khususnya di negeri Selangor.

“Justeru, pendaftar hendaklah sentiasa mengamalkan integriti tinggi dan tidak terlibat sama sekali dalam aktiviti pernikahan sindiket yang semakin berleluasa sekarang ini.

“Sekali lagi beta mengingatkan kepada semua yang diberi amanah dan tugas agar sentiasa memperkukuhkan integriti dan menjalankan tadbir urus yang terbaik berteraskan kepada nilai-nilai Islam sebenar.

“Semoga setiap pekerjaan yang kita lakukan didasari dengan sifat taqwa dan beriman kepada Allah,” titah baginda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini