comscore
Tumpuan :
Nasional

Hal hukum faraid tidak seharusnya dipandang remeh

Gambar adalah sedutan drama ‘Lelaki Itu’ (TV3) yang menunjukkan Qaidah (isteri pertama) berjumpa dengan peguamnya untuk isu pembahagian harta mengikut hukum faraid.

Oleh: Azzarouq Zulkiply

PENGATURAN pembahagian harta pusaka selepas kematian suami mengikut hukum syarak adalah hukum faraid yang harus dipatuhi umat Islam dalam mengikut perintah Allah S.W.T.

Kepentingan hukum faraid kurang diambil tahu oleh ahli keluarga kerana terlalu fokus untuk mendapatkan harta peninggalan si mati.

Menurut Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Datuk Abas Nordin, segelintir masyarakat masih kurang memahami hukum-hakam hal faraid serta kebaikannya.

Tambahnya, perebutan harta pusaka yang boleh menyebabkan terputus silaturahim antara ahli keluarga, disebabkan kegagalan pihak keluarga untuk memahami ilmu faraid.

Baru-baru ini dalam sedutan plot Episod 9 drama Samarinda TV3 Ramadan Raya, ‘Lelaki Itu’ telah mengetengahkan isu yang dikaitkan dengan peninggalan harta pusaka antara ahli keluarga si mati.

Sedutan dari drama ‘Lelaki Itu’ yang menunjukkan Qaidah (isteri pertama) mendesak peguamnya untuk memastikan hanya dia dan keluarganya sahaja yang dapat menuntut harta peninggalan si mati.

Di dalam drama tersebut, watak Mirza lakonan Adi Putra yang sudah meninggal dunia, sebenarnya mempunyai lagi dua isteri yang dikurniakan anak lelaki. Hal ini menyebabkan isteri pertama cuba menghalang daripada isteri lain menuntut sebarang harta si suami.

Menurut Peguam Syarie, Wan Nur Izzati Wan Rosli, sekiranya si suami meninggal dunia dan meninggalkan harta pusaka, harta tersebut perlulah dibahagikan mengikut hukum faraid kepada ahli waris yang berhak.

Ahli waris utama yang berhak mewarisi harta pusaka yang telah ditetapkan dalam Al-Quran (Ashabul Furudh) sekiranya seorang suami meninggal dunia ialah isteri (atau isteri-isteri), bapa kandung, ibu kandung, anak lelaki dan anak perempuan.

Peguam Syarie di Khairi Najihah Assosiates, Wan Nur Izzati Wan Rosli

“Perlu dikenal pasti terlebih dahulu perkahwinan suami dengan isteri kedua dan ketiga tersebut adalah sah mengikut hukum syarak dan didaftarkan di Malaysia ataupun tidak. Sekiranya belum disahkan dan didaftarkan di Malaysia, isteri lain tersebut perlu membuat permohonan pengesahan pernikahan di Malaysia terlebih dahulu.

Jelas Wan Nur Izzati, “Sekiranya perkahwinan tersebut dilakukan tanpa pengetahuan mana-mana pihak namun telah disahkan dan didaftarkan di Malaysia, maka isteri kedua dan ketiga serta anak lelaki (sekiranya anak lelaki tersebut adalah hasil perkahwinan suami dengan isteri kedua dan ketiga tersebut) berhak dan layak menuntut faraid.

Merujuk kepada drama ‘Lelaki Itu’ juga, isteri pertama, kedua dan ketiga serta kesemua anak mereka adalah ahli waris yang berhak mendapat dan menuntut harta pusaka suami tersebut, sekiranya ketiga-tiga perkahwinan tersebut adalah sah dan didaftarkan di Malaysia.

“Isteri pertama tidak boleh menghalang isteri lain (yang sudah kahwin berdaftar) untuk mendapat harta pusaka suami. Namun secara umumnya, isteri pertama berhak menghalang isteri lain menuntut harta sepencarian, di mana harta tersebut diusahakan secara bersama antara suami tersebut dengan isteri pertama sahaja, kecuali dapat dibuktikan sumbangan isteri lain dalam harta sepencarian tersebut,” katanya.

Gambar dari sedutan drama ‘Lelaki Itu’ (TV3) yang memaparkan Qaidah (isteri pertama) yang berbincang dengan peguam kerana ingin menghalang Imani (isteri ketiga yang mempunyai anak lelaki) menuntut harta daripada Mirza (suami yang sudah mati).

Tambahnya, jika melibatkan wasiat, ia harus berpandukan dalil Syarak dan pandangan Fuqaha’. Sekiranya suami pernah berwasiat untuk meninggalkan harta kepada isteri pertama, adalah penting untuk isteri pertama kemukakan bukti wasiat serta mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain.

Jika tiada persetujuan, maka harta pusaka tersebut perlu dibahagikan secara faraid dan sekiranya wasiat dipersetujui, maka haruslah mengikut pembahagian harta pusaka sepertimana wasiat yang telah ditinggalkan.

Beliau juga menasihatkan bahawa semua pihak perlu tahu hak faraid masing-masing.

“Adakan perbincangan sesama ahli waris dan sebaiknya, semua ahli waris perlu ada sikap toleransi serta reda-meredai. Melepaskan hak faraid (takharuj) dengan berlapang dada sama ada tanpa balasan atau dengan balasan dan pembahagian secara muafakat sesama ahli waris juga merupakan sebahagian daripada hukum faraid yang juga dianjurkan oleh hukum syarak serta boleh dijadikan sebagai jalan penyelesaian yang praktikal mengikut situasi dan kemaslahatan semua pihak,” katanya.


Drama Lelaki Itu (TV3) - Myinfotaip

Isu faraid antara yang ditampilkan dalam plot drama Samarinda TV3 Ramadan Raya ini, ‘Lelaki Itu’.

Saksikan drama ‘Lelaki Itu’ setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam di TV3 & boleh strim sekarang melalui Tonton!

‘Lelaki Itu’ juga merupakan carian drama dan tontonan nombor 1 di Tonton sekarang!

Loading...
Terkini