comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir 200,000 PATI, 20,000 majikan telah daftar RTK 2.0

FOTO hiasan – NSTP

KUALA LUMPUR: Hampir 200,000 pekerja asing tanpa izin (PATI) dan hampir 20,000 majikan telah mendaftarkan diri dalam Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) selepas ia diumumkan pada 10 Januari lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, hingga 27 Februari lalu, seramai 194,793 PATI telah berdaftar bawah program RTK 2.0 dengan membabitkan 17,053 majikan.

Beliau berkata, permohonan diterima melalui program itu membabitkan 55 peratus daripada sektor pembinaan, sektor perkhidmatan (28 peratus), sektor perkilangan (enam peratus), sektor pertanian (enam peratus) dan sektor perladangan (lima peratus).

“Bawah Pelan RTK 1.0 yang dilaksanakan hingga 31 Disember tahun lalu, seramai 418,649 PATI berdaftar membabitkan 30,137 majikan.

“Kutipan hasil dijana kerajaan melalui bayaran fi rekalibrasi, levi, pas visa dan proses adalah berjumlah RM714,892,532.50.

“Bagi menyokong keperluan industri untuk beroperasi pada tahap optimum tercapai, kerajaan pada 10 Januari lalu antara lain bersetuju melanjutkan pelaksanaan RTK 2.0 dan dibuka kepada semua sektor penggajian pekerja asing hingga Disember tahun ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai jumlah pecahan PATI yang dipilih untuk menyertai Program RTK hingga kini dan sektor terbabit.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini