comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir 40 aduan penipuan scammer guna nama JBPM

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad. FOTO: Ihsan JBPM

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima hampir 40 aduan penipuan ‘scammer’ yang menggunakan nama agensi itu setakat September tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, menerusi jumlah itu, Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 13 kes diikuti Johor (tujuh kes) dan dan Terengganu (enam kes).

Beliau berkata, pihak tidak bertanggungjawab dikesan membuat penawaran pemberian tender pembekalan seperti makanan bermasak, bahan mentah dengan menggunakan nama Ketua Balai Bomba atau Pengarah Bomba Negeri.

“Ia antara taktik yang digunakan scammer ini untuk memperdayakan mangsa sehingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

“Jadi, kita mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang tawaran pemberian kontrak pembekalan khususnya bagi kontrak secara perolehan terus menggunakan nama JBPM.

“Kita memandang serius kes berkenaan yang menggunakan nama JPBM untuk memperdaya mangsa dan kita menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 2 September lalu, seorang peniaga kerugian RM9,750 selepas menjadi mangsa penipuan seorang individu yang menyamar sebagai Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timurdengan menawarkan tender katering dan tempahan cenderahati.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor dilaporkan berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 33 tahun itu dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp kononnya bagi tempahan perkhidmatan katering untuk majlis penutup sambutan Hari Kebangsaan peringkat akademi terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini