comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir 90 peratus kes sulh berjaya diselesaikan pada 2023 – Mohd Na’im

Mohd Na’im (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kepada seorang penerima pada Majlis Apresiasi & Penyampaian Sijil Sulh-Mediasi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di Dewan Tan Sri Ibrahim Lembut, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya hari ini. FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Sebanyak 10,607 kes atau 88.98 peratus daripada 11,921 kes sulh yang didaftarkan di mahkamah syariah seluruh negara tahun lepas berjaya diselesaikan secara damai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kejayaan penyelesaian melalui sulh amat digalakkan kerana Islam amat menganjurkan untuk menyelesaikan setiap pertikaian secara baik.

“Bayangkan daripada semua kes (sulh) yang difailkan, lebih 10,000 kes diselesaikan tanpa dibicarakan. Ia satu kejayaan dan tahniah kepada pegawai sulh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil profesional kemahiran Sulh-Mediasi (Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)-JKSM) kepada 30 anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata latihan kemahiran sulh perlu diperluaskan kepada semua pihak termasuk penghulu dan ketua kampung bagi membolehkan mereka mengetahui cara menyelesaikan pertikaian dengan betul.

Sulh merupakan suatu perundingan dan perbincangan antara pihak-pihak di hadapan seorang pegawai sulh berkaitan perkara yang dipertikaikan terhadap satu atau beberapa tuntutan di mahkamah syariah.

Loading...
Terkini