TUARAN: Hampir satu metrik tan sampah dikutip pada program gotong-royong perdana sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2024 peringkat daerah Tuaran, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, program gotong-royong besar-besaran itu membabitkan 28 kampung dan tiga taman perumahan sekitar Tuaran.
“Menerusi kerjasama erat antara komuniti, pelbagai institusi pengajian tinggi di Sabah, agensi kerajaan dan swasta, berjaya mengutip hampir satu metrik tan sampah dari lokasi terbabit.
“Masalah sampah tidak pernah selesai, namun dengan usaha seumpama itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan masalah berkenaan.
“Saya berharap amalan gotong-royong itu akan terus diterapkan dalam kehidupan seharian penduduk, bukan hanya pada hari tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Gotong-Royong Perdana sempena Sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2024 daerah Tuaran di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkabong, hari ini.
Program besar-besaran itu julung kali diadakan di Sabah dengan persiapan pengendalinya dibuat sejak awal tahun ini memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Madius yang pengerusi penganjur berkata, menerusi kegiatan gotong-royong, mencerminkan rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Pada masa sama, kegiatan kitar semula minyak masak terpakai, botol plastik dan kaca turut diadakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 20 kampung berada sepanjang pesisir Teluk Mengkabong, bemula dari Kampung Buansa hingga Karambunai Baru, Tuaran tersenarai untuk dilestarikan dari segi alam sekitar, kebersihan dan keceriaan sebagai sebahagian ciri kampung lestari sempena program pembersihan itu.
Kampung terbabit ialah Buansa, Tembilok, Mengkabong, Pensuron, Jembulang, Gerinsing, Berungis, Saman, Melalin, Noungkoulud, Giling Tengah, Giling Laut, Rugading, Bukit Payung, Lentuong, Gayang, Terayong, Batangan Baru dan Karambunai Baru.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.