PENDANG: Kira-kira 20 buah rumah membabitkan 50 mangsa di Kampung Banggol Besi, di sini masih ditenggelami air biarpun sudah hampir sebulan berlalu.
Fenomena banjir termenung sejak16 September lalu itu menyebabkan penduduk yang terjejas masih terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di sini.
Menurut penduduk, Norsalawati Sabu @ Bakar, 39, ada penduduk yang hanya pulang ke rumah untuk mengambil barang-barang yang penting sahaja memandangkan kesukaran untuk memasuki kawasan kediaman masing-masing.
Katanya, terdapat juga antara mereka yang terpaksa tinggal di inap desa berdekatan berikutan PPS berdekatan menutup operasi selepas hampir majoriti penduduk sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
“Memang tak surut dari mula masuk awal dulu, apabila kawasan rumah kering tapi di keliling kawasan masih dilimpahi air, kami kena randuk air.
“Mak mentua bimbang anak-anak main air jadi kami buat keputusan pindah ke homestay abang ipar di Taman Setia, duduk dalam tiga malam, kemudian kami pindah PPS, ” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penduduk, Mohamad Rosdi Said,45, berkata kedudukan kawasan rumah yang lebih rendah menyebabkan air sukar surut sekali gus menjejaskan aktiviti harian mereka.
Katanya, banjir termenung kali ini sangat lama dan mereka terpaksa pulang ke rumah biarpun masih ada air di dalam rumah.
“Saya dan keluarga berpindah ke PPS selama 12 hari, selepas itu kami balik, rumah orang lain semua dah surut, kami ada setakat lutut lagi, apabila semua balik, kami pun malas nak duduk (PPS).
“Kalau orang lain kena (banjir) sekali kami kena dua kali, kadang-kadang air sungai tu terus masuk kami, kawasan kami rendah,” katanya.
Menurut Rosliza Abdul Razak, 37, kira-kira 50 orang penduduk kampung berkenaan terjejas dengan fenomena banjir termenung kali ini.
Katanya, kebanyakkan mereka juga difahamkan sudah kembali semula ke PPS Dewan Rakan Sukan bermula Isnin lalu susulan gelombang ketiga banjir yang melanda negeri Kedah.
“Banjir termenung tu kan jadi lebih dua minggu dah, dia surut sekejap lepas tu naik balik, mula hari Isnin baru ini naik balik, hari Isnin tu saya pindah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fazli Abdullah, 52 , berkata kejadian banjir termenung di kampung terbabit berlaku dalam tempoh yang sangat lama bermula beberapa tahun yang lalu.
“Dulu sini kerap sangat banjir, bila ada banjir sahaja, sini memang tenggelam tetapi tidak lama, bila tenggelam lepas itu dia surut cepat tetapi kebelakangan ini jadi tidak tahu fenomena alam dia air tak mahu atau lambat surut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.