comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Hamzah berat hati untuk mengikut rombongan ke program penanda aras di Terengganu’ – Isteri

Jenazah Allahyarham Hamzah Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang malam tadi.

ALOR GAJAH: Jenazah Hamzah Ahmad, 60, mangsa kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, Alor Gajah di sini kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Terdahulu, jenazah Hamzah tiba di Masjid Al-Ehsan Kampung Londang untuk disembahyangkan oleh lebih 100 jemaah kira-kira 10.50 malam.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Sementara itu, isteri Hamzah, Shamsiah Khamis, 56, berkata arwah tidak menunjukkan perubahan ketara selain menjadi lebih pendiam berbanding sikap asalnya yang periang, sejak dua minggu lalu.

Shamsiah yang juga orang kelainan upaya ekoran sakit saraf dialaminya sejak 2002 berkata, suaminya berat hati untuk mengikut rombongan ke program penanda aras di Terengganu itu.

“Masa nak bergerak ke sekolah malam tadi sambil bawa beg, sekali lagi dia kata rasa malas betul nak pergi tapi saya kata tak apalah sebab dah letak nama,” katanya.

Bekas guru Taman Bimbingan Kanak Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu berkata, kehilangan suaminya amat dirasai kerana mereka sering bersama lebih-lebih lagi arwah bakal pencen bulan depan.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi mengorbankan empat individu.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari SK Jeram, Masjid Tanah, bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini