comscore
Tumpuan :
Nasional

Hannah bawa pembaharuan dalam arena sukan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyambut kepulangan delegasi kontinjen Malaysia dari Sukan Asia Hangzhou 2022. – FOTO Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

KELIBAT Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang seringkali dilihat turun padang dalam setiap acara sukan membuktikan kesungguhan beliau dalam menggalas tugas sebagai peneraju Kementerian Belia dan Sukan.

Sejak mengangkat sumpah jawatan secara rasmi bermula 3 Disember lalu, Hannah dilihat lebih gemar bersua muka secara terus bersama atlet-atlet negara bagi memahami sendiri keadaan sebenar arena sukan tanahair.

Usahanya itu diterjemahkan melalui pelbagai perubahan dan penambahbaikan yang boleh dilihat setelah hampir setahun bersama KBS.

Perubahan yang dibawanya itu merangkumi empat aspek utama termasuk memperkukuhkan ekosistem sukan, merakyatkan sukan dan fasiliti KBS serta memperkasakan belia Malaysia.

Perkukuh ekosistem sukan

Kredit foto- Harian Metro

Antara usaha terbesar yang dibawa Hannah dalam memperkukuhkan ekosistem sukan negara adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC) bermula Jun 2023 lalu.

Ia ditubuhkan bagi membincangkan isu berkaitan sukan tempur, renang dan olahraga selain mengkaji keperluan dalam mengamalkan pendekatan menyeluruh bagi pembangunan sukan yang membabitkan kerjasama di antara KBS, Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Antara perkara yang dipersetujui ialah untuk mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah dan bukan sebagai aktiviti badan beruniform.

Tidak terhenti di situ, KBS turut memperkenalkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) bagi memperincikan tindakan-tindakan yang menyokong pelaksanaan strategi-strategi yang terkandung di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS 2020-2025.

Bukan itu sahaja, KBS dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut membantu konservasi Harimau Malaya menerusi inisiatif menyumbangkan RM1 dari setiap tiket yang dijual bagi perlawanan membabitkan Harimau Malaya dalam usaha memulihara skuad pasukan itu.

Merakyatkan sukan dan fasiliti KBS

Dalam usahanya untuk merakyatkan sukan, Hannah berjaya mewujudkan direktori fasiliti sukan dan melancarkan latihan asas sukan (KLAS) renang yang dibuka khusus buat kanak-kanak daripada keluarga B40 di seluruh negara.

Seramai 700 orang kanak-kanak telah menyertai KLAS untuk fasa pertama dan KBS tampil menyasarkan 5,760 penyertaan bagi fasa kedua yang diperluas ke 36 lokasi di seluruh negara.

Selain itu, inisiatif kreatif KBS dalam menganjurkan program ‘skrin besar’ sempena dua aksi separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 membabitkan skuad Harimau Malaya dan Thailand Januari lalu turut menunjukkan kesungguhan Hannah dalam merakyatkan sukan.

Ia berikutan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan Malaysia lawan Thailand tidak dapat digunakan disebabkan isu tempahan antara perlawanan bola sepak dengan konsert Jay Chou.

Seramai 250,000 penonton telah menghadiri program ‘skrin besar’ ini di 175 lokasi seluruh negara.

Dalam pada itu, proses merakyatkan fasiliti KBS turut dilakukan dengan membuka fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia dengan menyediakan penginapan ‘youth capsule’, menawarkan perkhemahan keluarga dan mewujudkan direktori fasiliti sukan.

Memperkasakan belia

KBS di bawah pentadbiran Hannah juga berjaya memperkasakan belia menerusi dua usaha utama yang dilakukan iaitu dengan memberi nafas baharu kepada persatuan Rakan Muda dan melancarkan Sekolah Rukun Negara.

Melalui usaha ini, KBS berjaya melancarkan fasa baharu Rakan Muda dengan menampilkan 10 gaya hidup yang direka untuk menarik minat belia masa kini dengan satu juta belia telah sertai program Rakan Muda.

Manakala program Sekolah Rukun Negara yang bertujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia pada Jun lalu turut mendapat sambutan baik dengan 106,000 peserta telah menyertai program ini.

Info penuh 22 Perubahan KBS

Memperkukuhkan Ekosistem Sukan
1. Menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC)
2. Memudah cara penganjuran acara sukan
3. Peningkatan dari 51 ke 103 jenis sukan
4. Mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah
5. Membantu Konservasi Harimau Malaya
6. Melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan
(NESDEG)
7. Memaparkan peruntukan yang diluluskan
8. Membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan
9. Membentuk Jawatankuasa Road to Gold
10. Mengadakan KBS Open Day
11. Membangunkan Kod Sukan Selamat
12. Mewajibkan kehadiran Pegawai Pengiring bagi mengiringi atlet para
negara

Merakyatkan Sukan
1. Mewujudkan Direktori Fasiliti Sukan
2. Menjalankan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang
3. Menyediakan Program Skrin Besar
4. Memperluaskan Jualan Sukan Rahmah

Memperkasakan Belia
1. Memberi Nafas Baharu Rakan Muda
2. Melancarkan Sekolah Rukun Negara

Merakyatkan Fasiliti KBS
1. Membuka Fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia
2. Melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti
3. Menyediakan Penginapan Youth Capsule
4. Menawarkan Perkhemahan Keluarga

Loading...
Terkini