Tumpuan :
Nasional

Hanya 1 PPS masih dibuka di Terengganu

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman bagi menempatkan 29 mangsa daripada enam keluarga setakat jam 8 malam ini.

PPS Balai Raya Padang Kemunting dibuka jam 12.20 tengah hari semalam masih beroperasi bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir yang mula melanda daerah Kemaman kelmarin.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 442 mangsa daripada 124 keluarga ditempatkan di empat PPS di daerah Kemaman jam 4 petang tadi.

Bagaimanapun, tiga PPS iaitu Balai Raya Meraga Beris, Sekolah Kebangsaan Kemasik dan Balai Raya Beris Nenas mula ditutup secara berperingkat petang tadi selepas kesemua mangsa pulangke kediaman masing-masing.

Keadaan cuaca ketika ini mendung dan jumlah mangsa yang terkesan akibat banjir juga mula menunjukkan trend menurun.

Sementara itu, paras air kebanyakan sungai utama di Terengganu masih menunjukkan trend menaik.

Bagaimanapun hanya dua sungai di Terengganu direkodkan melepasi paras amaran manakala tiga sungai lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai yang melepasi paras amaran adalah di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit masing-masing dengan bacaan 20.5 meter (m) dan 12.08 m.

Tiga sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu (7.1 m); Sungai Telemong di Kuala Ping (FI), Hulu Terengganu (18.22 m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman (1.88 m).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini