comscore
Tumpuan :
Nasional

Hanya 6.7 peratus penyewa rumah PPR & RSK di Johor diarah kosongkan rumah kerana langgar perjanjian

Oleh: Zahir Senapiah 

ISKANDAR PUTERI: Hanya 6.7 peratus atau 1,238 daripada 19,000 penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah sewa kerajaan negeri (RSK) di seluruh Johor diarah mengosongkan rumah masing-masing kerana telah melanggar syarat perjanjian.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukur berkata, antara pelanggaran syarat yang dikesan termasuklah menyewa rumah terbabit kepada pihak ketiga dengan kadar sewa yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan berganda.

Katanya, mereka mengambil kesempatan mengaut keuntungan tiga kali ganda berbanding kadar sewa asal hanya sebanyak RM250 ringgit sebulan yang perlu dijelaskan kepada kerajaan negeri.

Ujarnya, perkara itu terbongkar selepas kerajaan negeri membuat profil penduduk di 15 PPR dan 7 RSK, sejak dua tahun lalu.

EXCO perumahan dan kerajaan tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni ketika meninjau PPR dan RSK di Johor Bahru baru-baru ini.

“Sebanyak 613 kes yang ditawarkan rumah selepas cukup syarat, tapi malangnya dia sewakan kepada pihak ketiga. Sewa yang dikenakan lebih tinggi. Contoh PPR sewa sebulan lebih kurang RM250..sangat murah dalam kawasan bandar, biasanya sewa adalah antara RM600 hingga RM700 sebulan, bila dia dapat je rumah tu dia sewa pulak kepada pihak ketiga dengan sewaan dua kali ganda”.

Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media diluar sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-15, di Iskandar Puteri, petang tadi.

Pada sesi perbahasan usul sidang dewan berkenaan, Datuk Mohd Jafni turut membangkitkan perkara sama.

Di Johor terdapat 15 projek PPR dan ada 7 projek rumah sewa kerajaan.

Di sebalik tindakan tegas itu Datuk Mohd Jafni berkata, seramai 122 penyewa telah ditawarkan untuk terus tinggal di rumah masing-masing, kerana memenuhi syarat yang ditetapkan.

Susulan itu kerajaan negeri telah menubuhkan satu task force khusus bagi membuat profil sejak 2022.

“Kita terpaksa tubuhkan task force secara diam-diam kerana ada di kalangan penyewa atau penghuni enggan memberi kerjasama ketika menjalankan kerja-kerja profil” ujarnya.

Perumahan PPR dan RSK antara usaha kerajaan Johor membantu golongan B40 yang tinggal di kawasan bandar untuk mendapat tempat tinggal yang lebih selesa pada kadar sewa yang tidak membebankan golongan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini